Monday, December 14, 2009

AYAHANDA..

( aidilfitri 08 )

“ Apak… apakk… apakkk…” jerit ku.. “ya..” jawab ayahanda.. “ assalamualaikum apak..” sahut ku kembali sambil mencium tangannya dan pipinya.

Apak, panggilan adik-beradikku dari kecil hingga sekarang untuk ayahku yang ber'slank' Perak bermaksud "ayah". Teringat sewaktu kecil, ketika masih bersekolah rendah. Tidak pernah tinggal memberi salam kepada ayahanda sebelum masuk tidur. Tidak kira di mana pun, tetap akan memberi salam kepadanya. Selagi beliau tidak menyahut panggilanku, selagi itulah namanya ku jerit. Bonda dan adik beradik yang lainnya Cuma menggelengkan kepala. Kerana hanya diriku seorang sahaja yang berkelakuan sebegitu dalam keluarga. Namun pun begitu, ayahanda hanya melayan karenahku tanpa mengatakan apa-apa. Hanya senyuman sahaja yang beliau berikan.

Beliau adalah anak kelahiran setiawan, Perak, di lahirkan pada tarikh 28 julai 1940. Beliau adalah seorang yang sentiasa serius sama seperti bonda. Akan tetapi tidaklah segarang bonda.( hehe ) namun pun begitu, beliau amat tegas jika ianya berkaitan dengan solat jemaah. Boleh dikatakan setiap solat fardu, beliau akan ke surau ataupun masjid-masjid berdekatan. Setiap setengah jam sebelum azan, beliau akan mengajakku atau adik bongsu ku ke masjid bersama..( kerna yang selalu ada di rumah cuma diriku dan adikku..)

Beliau juga telah menetapkan masjid yang perlu pergi untuk setiap solat. Setiap solat subuh, telah ditetapkan ke Surau an-Nur, koperasi Polis. Solat zohor di Masjid Saidina Ali, Padang Balang. Solat asar di Surau an-Nur. Solat maghrib dan isyak ke Surau Tarbiyyah, Taman Melewar. Jika ada kuliah di markaz, beliau akan ke markaz untuk solat maghrib dan isyak. Itulah rutin harian beliau..

Yang amat ku hormati terhadap ayahanda ialah, beliau sering bangun di tengah malam untuk menunaikan solat tahajjud. Boleh dikatakan setiap hari beliau memulakan pagi dengan menjamu hidangan pahala di waktu pagi dari yang maha Esa. Tidak menghiraukan lagi keasyikkan malam yang aman untuk dibuai mimpi-mimpi. Beliau lebih suka untuk mengutip pahala-pahala yang berterbangan di kamar suci. Ketika beliau menunggu kami di dalam kereta di waktu subuh untuk ke surau, alunan zikrullah masih tidak berhenti-henti. Tidak jemu berzikir sehingga matahari mulai terbit. Subhannallah. Walaupun beliau tidak berstatus ulama` tetapi bagiku, amalan-amalan beliau sudah hampir setaraf dengan ulama`.

“Ya Allah Ya Tuhanku, terimalah segala amalan-amalan ayahandaku.” Amin. Semoga diriku dapat mengikuti jejak langkah beliau.

Setelah terbitnya matahari, beliau akan melakukan senaman pagi sebagai “warm up “ untuk memulakan kerja harian beliau iaitu, menaip. Dari mula isyrak hingga ke zohor beliau hanya berada di bilik untuk menaip artikel-artikel yang bakal di siarkan ke dalam harakah dan siasah.

Teringat sewaktu beliau berucap ketika mana rombongan dari KUDQI, Terengganu datang ke rumah untuk bertemu ramah bersama ayahanda, beliau ada berkata,

“ saya tidak pernah rasa jemu untuk menaip walaupun berjam-jam saya mengadapnya. Itulah kerjaya saya. Dan saya akan teruskan menaip sampai bila-bila. Saya berasa lagi jemu jika tidak menaip..”

Benar katanya, sekiranya beliau tidak dapat menaip, beliau akan berasa tidak selesa. Kadang kala, jika ada apa-apa yang belaku dengan komputernya, lantas beliau akan menyuruhku untuk melihat apa masalahnya. Kalau komputernya bermasalah di awal pagi, di waktu itu jugalah beliau akan mengejutku. Amat bersusah hati jika tidak dapat menaip dalam satu hari.

Bukanlah bermaksud beliau tidak pernah berehat. Selalu juga kami sekeluarga bercuti. Jika ada rezeki kami ke kampung. Sewaktu di kampunglah beliau akan berehat secukupnya. Jika beliau dapat bertemu dengan rakan-rakannya yang lama, lagi gembiralah beliau. Itulah yang menggembirakan diriku pabila dapat melihat ayahanda sedang bergembira. =)

Yang lagi menggembirakan beliau ialah pabila dapat diusik oleh cucu-cucunya. Lagi-lagi cucunya yang sulong, Raja Dhia Nazneen Insyirah. Jika ayahanada sedang menonton television, cucunya akan datang mengganggu untuk menukar siaran. Sehinggakan cucunya pandai menyorok remote dari ayahanda. Ketika itulah ayahanda hanya tersenyum kerna tidak jumpa di mana remote itu berada.( haha..=D )


( bersama cucu kedua beliau )



Namun, anakanda beliau yang ini, masih belum dapat mengembirakan beliau walaupun sudah dihantar merata untuk menimba ilmu. Masihku berusaha untuk mencari apakah yang dapat mangembirakan hati beliau walaupun beliau tidak meminta. Beliau tidak pernah memarahi sekiranya pernah ku melaku kesalahan. Cuma menegur sebagai syarat seorang ayah. Maafkan anakanda. Semoga diriku ini dapat berjasa kepada ayahanda selagi hayat dikandung badan.




Sewaktu beliau masih begitu aktif di dalam Parti Islam Se-Malaysia (PAS), beliau tidak pernah mengenepikan hal-hal keluarga. Seperti yang terjadinya ketika beliau dilantik sebagai Penasihat Menteri Besar Terengganu. Setiap hari khamis, beliau akan pulang ke Kuala Lumpur untuk bersama keluarga dan kembali semula ke Terengganu pada malam ahad.



Ahmad Subky Latif, itulah ayahandaku. Tidak merasa jemu bersama keluarganya walaupun semuanya sudah melangkah dewasa. Tegurannya juga yang amat simple, tetapi bisa terngiang-ngiang di telinga seolah-olah baru di tegur walaupun sudah lama. Amat bersyukur diriku ini mendapat ayahanda yang amat mementingkan keluarga.

“Ya Allah ya tuhanku, berkatilah amalan ibubapaku, terimalah amalan-amalan mereka, jika mereka sakit, syifakanlah. Pabila mereka bersyukur, gandakanlah. Limpahkanlah rezeki keatas ke mereka dan kurniakanlah kepada mereka ketenangan yang abadi di dunia dan akhirat. Amin Ya Rahman, Amin Ya Rahim..

Akhir sekali, jika ayahanda terbaca tulisan ini, anakanda ingin mengucapkan,
“ assalamualaikum apak..” =)

Wallahu`alam..

4 comments:

Deng Anaz said...

sapa cucu bongsu dia?? cuba awak bc smula..awak nie bongsu dgn sulung punn confused...

Anonymous said...

Adan...bagilah kredit pada photographer yang amik gambar2 awak tu..iaitu abg ipar mu sendiri hahahaaaa

ramadhan subky latif said...

erk..salah ek..hahaha..
hehe..tq 2 our fotographer.. jauh2 datang ke terengganu tuk mengambil gambar..

sape2 yang berminat tuk menyewa fotographer 4 convo, weddings or any even, bleh hubungi beliau di PEJABAT TNB BANGSAR...hahaha

Anonymous said...

Thanks for info, I am always looking for something interesting on the Internet, i want to send
photos for your blog